Dewan Rakyat hari ini mencatatkan sejarah apabila buat kali pertama ahli-ahli Parlimen memakai baju batik bagi memberi sokongan kepada industri berkenaan. Foto Facebook Ahmad Amzad Hashim.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mencatatkan sejarah apabila buat kali pertama ahli-ahli Parlimen memakai baju batik bagi memberi sokongan kepada industri berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri turut merakamkan ucapan terima dan tahniah atas sokongan yang diberikan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen yang anggun dan segak mengenakan baju batik Malaysia masing-masing pada hari ini.

“Bagi meraikan hari bersejarah, hari pertama pemakaian batik di Dewan Rakyat, semua Keluarga Malaysia akan mendapat rebat tunai RM30 pada setiap pembelian RM100 yang kita tawarkan ke atas mana-mana produk Kraf Malaysia yang dijual.

“Ini membantu batik kita dan kedai di Parlimen dan mana-mana cawangan di Kraftangan Malaysia, anda dapat rebat RM30 pada setiap RM100 nilainya,” katanya.

Pada sidang sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan cadangan membenarkan ahli Parlimen memakai baju batik lengan panjang pada setiap Khamis ketika tempoh persidangan.

Menurut beliau, pemakaian baju batik itu bagaimanapun bukan mandatori sebaliknya secara sukarela. – MalaysiaGazette