Budget 2022 is the core to post-Covid-19 national recovery. PIX: FARHAN MAHAMAD / MalaysiaGazette / 14 SEPTEMBER 2021 Tengku Zafrul Ministry of Finance
Budget 2022 is the core to post-Covid-19 national recovery. PIX: FARHAN MAHAMAD / MalaysiaGazette / 14 SEPTEMBER 2021 Bajet 2022 adalah tunjang pemulihan negara pasca pandemik Covid-19. Foto FARHAN MAHAMAD, 14 SEPTEMBER 2021

KUALA LUMPUR- Sepatutnya Bajet 2021 menjadi bajet pemulihan kepada negara tetapi malangnya, serangan menggila Covid-19 sejak awal tahun ini menyaksikan luka Malaysia semakin parah.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula, aktiviti ekonomi disekat, semakin ramai hilang sumber pendapatan manakala kerajaan pula terpaksa meningkatkan defisit kerana perlu mengeluarkan dana yang lebih besar bagi membantu rakyat dan merangsang ekonomi.

Pastinya Bajet 2022 yang akan dibentangkan petang ini adalah belanjawan paling mencabar untuk disediakan Kementerian Kewangan dan setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz akan diteliti serta dihakimi rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2020.

Persoalan-persoalan mengenai apakah kerajaan masih mampu membantu rakyat dan merangsang ekonomi apabila sumber kewangannya sendiri juga terhad ditambah dengan kadar defisit yang tinggi sudah tentu bermain di minda banyak pihak.

Bagaimanapun, kita semua harus realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

Bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dan bertunjangkan tiga matlamat utama iaitu Memulihkan Kehidupan; Membina Semula Daya Tahan dan Memangkin Pembaharuan, saiz Bajet 2022 dijangka tidak begitu besar jika dibandingkan dengan Bajet 2021.

Untuk rekod, peruntukan kerajaan untuk Bajet 2021 tahun lepas adalah sebanyak RM322.54 bilion.

Belanjawan
Covid-19 membantukan pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara.

Maka, jika dilihat kepada kedudukan kewangan kerajaan termasuk hutang dan liabiliti, ramalan penganalisis bahawa Bajet 2022 akan berkembang lima hingga 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, sudah pasti tidak mampu dicapai.

Namun begitu, meskipun tiada lonjakan dari segi saiz, Bajet 2022 tetap akan menjadi peruntukan tahunan yang terbesar setakat ini dan ia akan menyentuh seluruh Keluarga Malaysia khususnya golongan rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, bantuan-bantuan yang disalur melalui pelbagai pakej rangsangan sebelum ini juga perlu ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan mampu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi golongan sasar.

Lensa MG

Dalam Bajet 2022, kerajaan juga diharap dapat mengambil maklum isu-isu seperti jaringan keselamatan sosial, simpanan individu yang rendah dan kebajikan golongan bekerja sendiri atau dalam sektor informal supaya penambahbaikan dapat dilakukan.

Pandemik Covid-19 turut mendedahkan isu-isu lain yang bukan hanya berkisar mengenai makanan di atas meja sahaja.

Justeru, Bajet 2022 diharap turut menyentuh perkara-perkara yang melibatkan keganasan rumah tangga dan kesihatan mental kerana isu-isu sedemikian tidak mampu ditutup dengan nyiru selamanya. Ia perlu diselesaikan dan mangsa patut segara dibantu.

Kesimpulannya, Bajet 2022 ini penting untuk kelangsungan hidup pasca Covid-19 dan memulihkan negara namun rakyat juga seharusnya faham kekangan kerajaan kerana kantung perbendaharaan sendiri telah terhad.

Kita semua sedar tiada siapa yang mampu memuaskan hati dan tuntutan setiap orang namun harapnya inisiatif yang bakal diumum Tengku Zafrul jam 4 petang nanti lebih menarik daripada warna baju Melayu beliau.

-MalaysiaGazette