KUALA LUMPUR – Kerajaan menaikkan nilai baucar kepada RM75 berbanding RM50 kepada penerima bantuan B40 di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

Sebagai tambahan, baucar itu juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022.

”Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya,” kata Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022.

Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi RM150 bagi individu dan RM250 bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Bagi tahun hadapan, skim MySalam akan diperluas kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.

Setakat 30 September 2021, mySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal lebih RM180 juta kepada 125,000 pesakit.

Di samping itu, 229,000 individu juga telah menerima pampasan disebabkan Covid-19 dengan nilai keseluruhan RM115 juta.

Pada tahun ini, skop mySalam telah diperluas meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.

Inisiatif i-Saraan dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP.

Melalui inisiatif ini, kerajaan mencarum sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum 250 ringgit setahun.

Bagi tahun 2022, kerajaan akan meluaskan penerima manfaat inisiatif ini untuk turut merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun.

Sejumlah RM30 juta disediakan untuk memanfaatkan lebih 100,000 peserta sedia ada dan baharu. – MalaysiaGazette