Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi tahun 2022 untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi.

Daripada jumlah ini, RM1.3 bilion disalurkan kepada Felda bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka, RM495 juta untuk manfaat peserta Felcra dan RM699 juta untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah Risda.

Ketika membentangkan Bajet 2022, Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara bertujuan menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar, agar mampu untuk memproses getah sekerap ke bentuk getah krip.

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil kategori B40, kerajaan akan memperkenal dan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan.

Kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh untuk membantu meringankan beban sara hidup bagi 320,000 pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh dengan peruntukan RM190 juta.

Selain itu, kerajaan akan memberikan perlindungan takaful kepada semua ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. – MalaysiaGazette