Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun ditangkap bagi membantu berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan kembar yang dijaga oleh isterinya.

Suspek yang dipanggi ‘atuk’ oleh kanak-kanak kembar itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Taman Medan di sini, pada 28 Oktober lalu.

Difahamkan, warga emas tempatan itu dikatakan mencabul dua beradik kembar berusia tujuh tahun itu ketika kedua-dua mangsa itu sedang mandi di bilik air rumah pengasuh.

Insiden yang menimpa kanak-kanak kembar itu terbongkar selepas abang mangsa yang berusia lapan tahun telah menceritakan kejadian itu kepada bapanya lantas satu laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki itu yang dipanggil sebagai ‘atuk’ itu dikatakan dilihat mengangkat dua adik kembar perempuannya dan meletakkan ke atas kemaluannya seorang demi seorang ketika kedua-dua mangsa sedang mandi dalam bilik air rumah asuhan itu.

“Bertindak atas maklumat pengadu (kanak-kanak lelaki) dan laporan polis bapa mangsa, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah pergi ke rumah pengasuh itu sebelum menangkap suspek.

“Suspek merupakan suami kepada pengasuh dan keterangan pengasuh (isteri suspek) berusia 61 tahun tersebut juga telah diambil oleh polis bagi membantu siasatan lanjut.

“Wanita berkenaan mendakwa tidak mengetahui perbuatan keji yang dilakukan suaminya dan mengakui bersama-sama suaminya mengasuh kanak-kanak kembar perempuan itu,” ujarnya.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017. – MalaysiaGazette