Kesan lebam pada lengan bayi disyaki didera oleh pengasuhnya. foto FB Khidmat Pengasuh Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kes bayi perempuan lima bulan yang didakwa didera oleh pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bapa bayi berkenaan telah membuat laporan polis kerana ada kesan kemerahan di lengan kiri dan kanan mangsa semasa dalam jagaan pengasuh.

Kejadian itu berlaku hari pertama mangsa dijaga oleh pengasuh tersebut.

Kes ini viral di akaun Facebook Khidmat Pengasuh Shah Alam oleh penama Hazirah Khairi.

”Siasatan mendapati pengasuh tinggal bersama anaknya berumur 4 tahun semasa kejadian terhadap mangsa.

”Pemeriksaan awal doktor mendapati kesan kecederaan pada tisu lembut pada lengan mangsa,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi dan sekiranya ada yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, bolehlah salurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310. – MalaysiaGazette