Ramli Mohamed Yoosuf ketika bercakap pada sidang media mengenai Ops Sarang.

KUALA LIPIS – Polis Pahang menahan 132 individu terdiri daripada pengedar dan penagih dadah dalam Ops Sarang yang dijalankan serentak melibatkan lima buah daerah di negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Ops Sarang khas dilakukan pada 30 Oktober lalu diadakan di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut

Tambahnya,  operasi ini bagi menggempur sarang pengedar dan penagih dadah yang semakin berleluasa di kawasan Felda dan serbuan dari rumah ke rumah.

“Seramai 14 orang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

“Tiga orang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu,” katanya menerusi sidang media.

Seramai 132 orang pengdar dan penagih ditahan dalam Ops Sarang Khas yang dijalankan melibatkan lima daerah secara serenrak di negeri ini

Manakala 21 orang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.

Selain itu, 88 orang warga tempatan yang lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB1952 kerana positif dalam ujian air kencing dan enam orang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun kerana disyaki memiliki cecair disyaki air ketum.

Ramli berkata, dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 151.51 gram,  syabu 113.62 gram dan pil Yaba seberat 23.85 gram berjaya dirampas.

“Ia termasuk dadah jenis eramin 54.5 gram, kodein 0.04 liter dan air ketum 4.5 liter yang keseluruhannya dianggar bernilai RM17,493,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang Januari hingga September 2021, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang  berjaya menangkap 6,342 orang pengedar dan penagih dadah dengan jumlah keseluruhan kes yang direkod sebanyak 5,220 kes.

Ia melibatkan nilai rampasan pelbagi dadah berjumlah RM3.4 juta  serta jumlah harta pengedar dadah sebanyak RM4.2 juta. – MalaysiaGazette