Home Dunia ‘Joker Batman’ tikam penumpang, bakar kereta api

‘Joker Batman’ tikam penumpang, bakar kereta api

TOKYO – Sebanyak 17 penumpang kereta api komuter cedera termasuk tiga parah selepas seorang lelaki berpakaian Joker Batman bertindak mengacukan pisau di dalam kereta api komuter dan menikam beberapa penumpang sebelum membakar pengangkutan itu.

Serangan itu menyebabkan orang ramai berebut untuk melarikan diri dan melompat dari tingkap kereta api tersebut, kata polis dan saksi.

Penyerang, yang dikenal pasti sebagai lelaki berusia 24 tahun, telah ditangkap di tempat kejadian dan sedang disiasat kerana disyaki melakukan cubaan membunuh, kata NHK.

Motif tindakannya juga tidak diketahui.

Nippon Television melaporkan suspek memberitahu polis dia mahu membunuh dan mendapatkan hukuman mati.

Disebabkan itu dia menggunakan kes kejadian tikam di dalam kereta api yang pernah berlaku sebelum ini sebagai contoh.

Saksi memberitahu poliscpenyerang itu memakai pakaian cerah – kemeja hijau, sut biru dan kot ungu – seperti komik Joker dalam Batman atau seseorang yang pergi ke acara Halloween, menurut laporan media.

Polis berkata, serangan itu berlaku di dalam kereta api Keio berhampiran stesen Kokuryo.

NHK berkata, suspek, selepas menikam penumpang, menuang cecair menyerupai minyak dari botol plastik lalu membakarnya menyebabkan sebahagian tempat duduk terbakar.

Saksi, Shunsuke Kimura, yang merakam video itu, memberitahu NHK dia melihat penumpang terdesak berlari dan ketika dia cuba memikirkan apa yang berlaku, dia mendengar bunyi letupan dan melihat asap berkepul-kepul.

Dia juga melompat dari tingkap tetapi jatuh di atas pelantar hingga bahunya cedera.

“Pintu kereta api ditutup dan kami tidak tahu apa yang berlaku, dan kami melompat dari tingkap.

“Ia sangat mengerikan,” katanya.

Serangan melibatkan pisau itu berlaku kali kedua dalam kereta api Tokyo dalam tempoh dua bulan. – AP