Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan merangka Pelan Tindakan Industri Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 hingga 2025 dalam menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sepanjang dekad lalu, Malaysia telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menandakan terdapat kualiti dalam penawaran penjagaan kesihatan di rantau ini.

Katanya, pada Julai tahun lepas, pihaknya telah menunjukkan kepada dunia bagaimana perkongsian awam-swasta antara organisasi seperti Majlis Keselamatan Negara, KKM, Jabatan Imigresen dan Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia telah menghasilkan pembukaan semula sempadan dengan selamat dan terkawal.

“Kita menetapkan keutamaan dengan mempamerkan kesinambungan penjagaan yang patut dipuji di peringkat antarabangsa semasa wabak (Covid-19).

“Pelan tindakan ini adalah unik untuk masa depan kerana ia bertujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan menyediakan panduan yang jelas kepada rantaian nilai serta industri penjagaan kesihatan kita.

“Rangka tindakan itu akan merangkumi lima pendekatan berbeza dan berpaksikan kepada tiga tonggak strategik iaitu
ekosistem perjalanan penjagaan kesihatan, jenama penjagaan kesihatan Malaysia dan pasaran,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Pembangunan (blueprint) Kembara Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 – 2025, secara maya hari ini.

Menurut Khairy lagi, pada 2019, lebih 1.22 juta pelancong memilih Malaysia sebagai tempat dalam menghasilkan penjagaan kesihatan dengan pendapatan dicapai hampir RM1.7 bilion.

Bagaimanapun, katanya, penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan keadaan kerana pada tahun lepas ia menyaksikan penurunan hasil kepada hampir RM800 juta.

“Semasa kita beralih ke fasa endemik, kita memberi keutamaan dalam aspek penjagaan dan keselamatan kesihatan berkualiti tinggi dan ia merupakan segalanya.

“Kita perlu meningkatkan prestasi dengan menerima pendigitalan keseluruhan pengalaman perjalanan pesakit.

“Dengan Pelan Tindakan ini, Malaysia telah mula membentuk sempadan baharu untuk mentakrifkan semula pengalaman pesakit melalui pendekatan bersatu dan kolaboratif terhadap  pendigitalan,” ujarnya.

Justeru Khairy berkata, menerusi pelan itu KKM berhasrat untuk menyediakan Pengalaman Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia yang terbaik menjelang 2025 dan ia menjadi matlamat utama yang diberi perhatian. – MalaysiaGazette