The Member of Parliament of Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim during the Special Parliament Sitting at the Dewan Rakyat in Kuala Lumpur. PIX: Courtesy of the Department of Information / 26 JULY 2021. RMK12 book
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi isu yang dibangkitkan pembangkang pada sesi Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2022 menyelitkan perkara tersebut sambil meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung SOP yang diguna pakai dalam PRN berkenaan.

Katanya, beliau bimbang sekiranya perkara itu tidak dijelaskan dengan betul akan timbul “double standard” oleh parti-parti di pihak kerajaan terhadap parti lawan.

“Perkara ini kena jelaskan dengan betul, kalau tidak akan berlaku double standard antara parti-parti yang bertanding dengan parti kerajaan,” katanya.

Menurut Anwar, beliau tidak faham dengan kaedah SOP bagi pilihan raya itu kerana ia berbeza-beza seolah-olah menyekat demokrasi kerana parti lawan tidak diberi kebebasan untuk berkempen sedangkan parti dipihak kerajaan tidak pula dikenakan sekatan sedemikian.

Tegasnya, jika terdapat sekatan untuk berkempen dalam pilihan raya itu adalah lebih baik sekiranya ia tidak perlu diadakan terus.

“Untuk apa diadakan pilihan raya kalau tidak dibenarkan berkempen.

“Punca pilihan raya ini dibuat adalah disebabkan pergolakan wakil rakyat dalam kerajaan dan kini telah mengheret bersama rakyat. Jadi, kalau sukar untuk nak berkempen baik tak perlu buat pilihan raya,” ujarnya.

Perkara yang dibangkitkan Anwar itu mendapat perhatian Ahli Parlimen (PH-Hang Tuah Jaya), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang bangkit mencelah terhadap isu yang dibawakan oleh ketuanya.

Shamsul berkata, beliau hairan terhadap SOP yang diumumkan sebelum ini kerana terdapat banyak percanggahan antara satu dengan yang lain.

Dengan memberikan contoh dirinya yang telah dikenakan kompaun pada sesi penerangan bersama pengundi kelmarin, Shamsul Iskandar berkata, beliau mahu satu garis panduan dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan agar tidak timbul kekeliruan sepanjang tempoh berkempen pada PRN itu.

“Saya berceramah hanya di atas lori tiada sentuhan, tiada kumpulan yang ramai pun kena kompaun,” ujarnya.

Semalam, Shamsul Iskandar pada sidang medianya secara maya mendesak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin agar menjelaskan dengan terang SOP yang digunakan dalam PRN berkenaan.

Pada masa sama beliau turut meminta agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi penerangan kepada anggota pengguatkuasa berhubung SOP itu supaya mereka boleh mendapat gambaran secara jelas terhadap tindakan-tindakan yang boleh diambil.

Turut bangkit menyokong isu yang ditimbukan, Ahli Parlimen (PH-Kulim Bandar Baharu), Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menyatakan  Melaka merupakan negeri yang sudah masuk fasa empat.

Katanya, berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua majlis-majlis rasmi kerajaan boleh dibuat di negeri itu dengan kehadiran tetamu namun, agak pelik apabila arahan berbeza dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya dah kata perkara ini boleh menyebabkan double standard dan ia benar-benar berlaku. Hang Tuah Jaya buat dalam mobil (ceramah). Pancar secara maya itu pun kena kompaun…jadi apa yang boleh (kempen),” ujarnya.

Justeru, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat satu ketetapan berhubung SOP PRN Melaka memandangkan beliau mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Sementara itu, Anwar yang menjawab celahan kedua-dua Ahli Parlimen terbabit menjelaskan, beliau sudah mengemukakan pandangan berhubung SOP PRN Melaka kepada Perdana Menteri.- MalaysiaGazette