KUALA LUMPUR – Polis trafik meminta pemandu Myvi hitam atau atau pemilik akaun Twitter Nan Manjoi8715 untuk tampil ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan membabitkan sebuah kenderaan melakukan provokasi di atas jalan raya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kejadian telah berlaku pada 30 Oktober 2021, jam lebih kurang 11.30 pagi di Jalan Jinjang Setia melibatkan kenderaan Toyota Corolla Altis berwarna hitam dengan sebuah kenderaan yang dipercayai Myvi berwarna hitam.

Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Myvi telah bergerak secara perlahan di hadapan pemandu Toyota Corolla Altis di lorong paling kanan.

Melihat pada keadaan tersebut pemandu Toyota Corolla Altis telah mengubah laluan ke lorong tengah untuk memotong kenderaan Myvi dan dalam masa yang sama pemandu Myvi juga mengubah ke lorong tengah.

Sarifudin berkata, tindakan pemandu Myvi mengubah laluan ke lorong yang sama membuatkan pemandu Toyota Corolla Altis menjadi marah dan memotong serta masuk semula ke lorong Myvi dan membrek kecemasan di hadapan kenderaan tersebut beberapa kali secara sengaja.

Kejadian itu tular pada 31 Oktober, 2021 jam 8.40 pagi berdurasi 49 saat oleh Nan Manjoi8715.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau
Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette