Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (kanan) melawat pameran pada Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di Institut Genom Malaysia, Bangi. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2021.

BANGI – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin (PPVN) dan menaik taraf Institut Genom Malaysia (MGI) kepada Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan Malaysia salah sebuah negara pengeluar vaksin utama dunia.

Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Ismail Sabri berkata, terdapat tiga projek yang bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN, iaitu yang pertama dua jenis vaksin Covid-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Pembangunan vaksin ini akan tertumpu kepadacern Variant of Concern (VOC) Covid-19 yang terdapat di Malaysia.

Peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan iaitu dana penyelidikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sukuk Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan Covid-19) yang berjumlah RM3.5 juta.

Kedua ialah vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut membiayai projek ini menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta dan ketiga Projek Pre-clinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pusat Penyelidikan Kanser akan turut menjalankan ujian klinikal bermula Februari tahun depan sehingga Mac 2023 di United Kingdom.

Naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

Malan PPVN dan MGVI ini mencerminkan bahawa kerajaan komited untuk memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengeluarkan vasin, tambah beliau.

”Kerajaan akan melaksanakan strategi ini secara berperingkat menggunakan rangka kerja PPVN agar perancangan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berfokus,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Ismail Sabri menambah, apabila Malaysia memperkukuhkan sekuriti kesihatan, ia  membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara pengeluar vaksin.

Tambahan pula, negara mempunyai saintis vaksin, yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin.

“Kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai AS$$1.94 bilion pada tahun 2020, di mana vaksin adalah antara lima item import utama dengan jumlah pembelian sebanyak RM4.3 bilion bagi vaksin Covid-19 sahaja.

“Kebergantungan kepada import ini menunjukkan kita perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata,” ujar beliau. – MalaysiaGazette