Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara one-off kepada 1 juta pesara kerajaan akan turut diberikan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Ini selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif ini telah dilaksanakan pada Bajet 2021 yang mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada veteran ATM berpencen, pencen terbitan dan veteran ATM tidak berpencen.

Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September
2021.

Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang bulan Januari 2022. – MalaysiaGazette