Mohd Ridzuan (kanan) menujukkan senarai harga barang kawalan sempena Deepavali ketika meninjau Pasar Awam Chowrasta, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Operasi pembungkusan semula minyak paket bersubsidi terpaksa dihentikan susulan pekerja kilang pembungkusan itu positif Covid-19 dikatakan faktor kekurangan bahan mentah tersebut sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, kekurangan bahan mentah itu hanya berlaku di daerah Timur Laut.

Mohd Ridzuan.

Jelas beliau, wakil yang dilantik itu merupakan pemegang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi terbesar bagi daerah tersebut iaitu sebanyak 150 tan sebulan.

“Susulan pekerjanya positif Covid-19 operasi pembungkusan semula terpaksa dihentikan selama tujuh hari sekali gus menyebabkan kekurangan minyak masak paket di pasaran daerah Timur Laut.

“Setakat ini, bagi daerah Timur Laut sebanyak tiga wakil dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi itu dan hasil pemeriksaan KPDNHEP mendapati peruncit sudah mula menerima bekalan minyak masak minggu ini.

“Selain itu, kuota pengedaran minyak masak paket bersubsidi bagi bulan Oktober lalu hampir mencukupi turut menjadi faktor gangguan bekalan bahan mentah tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Mohd Ridzuan melakukan tinjauan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan Deepavali 2021 peringkat negeri Pulau Pinang di Pasar Awam Chowrasta, di sini.

Mohd Ridzuan meninjau pasar awam Chowrasta hari ini.

Sebanyak 11 barang disenaraikan sebagai harga terkawal bagi tempoh 1 hingga 7 November ini di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang disambut pada Khamis ini.

Mengulas lanjut Mohd Ridzuan berkata, kuota minyak masak paket bersubsidi bagi Pulau Pinang ialah sebanyak 34,34000 kilogram  sebulan.

“Ia dibungkus semula oleh 25 wakil syarikat yang dilantik di seluruh negeri ini,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

CAP dakwa minyak masak paket kurang di pasaran

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa minyak masak paket bersubsidi berkurangan di negeri ini menjelang Deepavali.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kekurangan minyak masak itu daripada orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast