PETALING JAYA – Pengurus besar sebuah syarikat elektronik dan perisian dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan penyalahgunaan harta saham bernilai RM1.7 juta dipercayai milik isterinya pada tahun lalu.

Tertuduh, Varin Derjit Singh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut fakta kes, Varin Derjit Singh didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu 167,200 unit saham Hartalega berjumlah RM1,746,404 milik Sanjeet Kaur Harpajan Singh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 28 Mei 2020 di CIMB Securities Cawangan Tropiciana City Office Tower.

Oleh demikian dia dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Goh Cia Yee dari Firma Tetuan Sivananthan Advocate & Solicitors.

Anis Hakimah mencadangkan tertuduh dikenakan wang jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.

Namun peguam tertuduh, Cia Yee merayu mahkamah nilai wang jaminan dikurangkan kepada RM7,000.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak,Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette