melaka pelancong
Pelancong mula berkunjung ke Bazar Ole-ole Banda Hilir, Melaka bagi mencari pelbagai produk hiasan, pakaian, kraftangan dan makanan tradisional yang dijual di bazar berkenaan.

MELAKA – Di sebalik kebimbangan mungkin berlakunya peningkatan kes Covid-19 akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, tersembunyi hikmah lain yang diibaratkan ‘penyambung nyawa’ golongan peniaga kecil di negeri ini.

Betapa tidak, perniagaan yang hidup segan mati tak mahu sejak beberapa bulan lalu kini mampu meraih jualan sehingga RM10,000 pada hujung minggu dek kerana semakin ramai pelancong termasuklah jentera kempen PRN Melaka mula berkunjung ke Melaka.

Peniaga makanan tradisional, kraftangan dan pakaian Bazar Ole-ole di Banda Hilir, Hamzan Malek, 21, berkata, dia mampu meraih jualan kasar sehingga RM10,000 pada hujung minggu lalu.

Hamzan Malek

“Perniagaan di bazar ini banyak bergantung kepada pelancong, sebab itu bila sempadan negeri ditutup, kawasan ini akan ‘mati’.

“Biasanya, jualan pada hari biasa minggu lalu sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sehari namun meningkat menjadi RM10,000 pada hujung minggu, antaranya disumbangkan ‘pelancong politik’ sempena kempen PRN Melaka.

“Jadi bila adanya ‘pelancong orang politik’ selain pelancong berkeluarga, ia umpama ‘penyambung nyawa’ yang memberi limpahan rezeki buat perniagaan kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Kegembiraan sama dikongsi peniaga pakaian, makanan dan kraftangan Ridzwan Khairodzin, 28, yang menyifatkan PRN Melaka membawa rezeki yang tidak disangka-sangka selepas hampir setahun terpaksa menutup perniagaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

melaka tinjauan
Ridzwan Khairodzin

“Memanglah kalau hendak diikutkan perasaan semua kita takut dengan pandemik ini, tapi kita juga terpaksa terima hakikat ekonomi peniaga kecil juga boleh mati walaupun tanpa PRN yang sangat penting sebagai penentu kestabilan ekonomi pada masa depan.

“Syukur Alhamdulillah sejak minggu lalu semakin ramai berkunjung ke Melaka apabila sempadan negeri mula dibuka pada 11 Oktober lalu termasuklah dalam kalangan pemimpin politik mahupun petugas kempen pilihan raya,”katanya.

Menurutnya dek kerana sambutan luar biasa diterima itu, perniagaan keluarganya yang diusahakan sejak 10 tahun lalu kembali ‘bernafas’ selepas beberapa bulan terpaksa bertahan dengan jualan sekitar RM100 hingga RM300 sehari berbanding RM7,000 pada hujung minggu lalu.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast