Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Kira-kira sebulan sebelum sepak mula kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menyuarakan kebimbangan terhadap faktor kecederaan dan keletihan pemain.

Cheng Hoe berkata, kedua-dua faktor itu boleh terjadi kepada mana-mana pemain berikutan jadual padat Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung dengan aksi final dijadual pada 30 Nov sementara Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan B Piala AFF berdepan Kemboja pada 6 Dis.

Situasi itu meninggalkan Cheng Hoe tanpa sebarang pilihan selain hanya berharap dapat membentuk sebuah pasukan yang mampu beraksi di tahap optimum bagi mengharungi cabaran dalam ‘kumpulan maut’ kempen kejohanan tersebut.

“Sebagai jurulatih saya bukan risaukan prestasi pasukan sebaliknya keletihan dan kecederaan pemain. Kalau kita tengok jadual Piala AFF yang ditetapkan kita kena ikut saja… jadi saya harap semua pemain yang datang (dikumpulkan) dalam keadaan terbaik.

“… kerana (dalam kempen Piala Malaysia) selang tiga hari main satu perlawanan dan jika pemain itu merupakan pemain tetap dalam pasukan dan bermain sampai ke perlawanan akhir, jadi dalam sebulan mereka sudah main sembilan perlawanan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan, Cheng Hoe turut berharap dalam tempoh yang singkat beliau dapat memulakan latihan penuh skuad kebangsaan seawal 1 Dis, namun beliau menjangkakan hanya dapat melengkapkan pasukan dua hari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Jika dapat pasukan penuh 1 Dis baru kita dapat mulakan latihan, pemain-pemain yang beraksi di final (Piala Malaysia) mesti perlukan dua atau tiga hari untuk proses pemulihan, jadi kita hanya ada dua atau tiga hari untuk persiapan pasukan,” kata pengendali berusia 53 tahun itu.

Selepas aksi sulung Kumpulan B berdepan Kemboja, Malaysia akan bertemu Laos pada 9 Dis diikuti dua aksi yang dijangka berlangsung sengit menentang juara edisi 2018 Vietnam dan musuh tradisi Indonesia masing-masing pada 12 dan 19 Dis dalam usaha memburu slot peringkat separuh akhir.

Tiga perlawanan pertama Malaysia akan berlangsung di Stadium Bishan manakala pertembungan dengan Indonesia akan diadakan di Stadium Nasional Singapura.

Pada edisi Piala AFF 2018, Cheng Hoe membimbing skuad Harimau Malaya muncul naib juara selepas tewas dengan keputusan agregat 2-3 kepada Vietnam.

Mengambil kira faktor jadual Piala Malaysia serta kebimbangannya, Cheng Hoe menganggap ia satu kemajuan yang baik jika pasukan negara mampu mara ke separuh akhir.

“Jangkaan bukan daripada kita jurulatih sahaja, dari aspek peminat pun mereka nak pasukan negara sampai ke tahap terbaik, contohnya ke final sekali lagi… dan kita pun memang nakkan sesuatu untuk 2021,” kata Cheng Hoe.

Sebagai rekod, Malaysia berjaya melepasi saingan kumpulan sebanyak empat kali, selain beraksi di final tiga kali dan menjulang kejuaraan edisi 2010 dalam lima edisi terakhir Piala AFF. – MalaysiaGazette