KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah
di pentas dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan cemerlang dalam
penarafan QS World University Rankings: Asia 2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM dan menjalankan fungsi
Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, seluruh warga UTeM komited
meningkatkan usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah universiti
teknikal yang unggul bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di persada
dunia.

Jelasnya, sebagai sebuah universiti teknikal awam yang pertama di Malaysia, UTeM
telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan keupayaan teknikal negara
termasuk menawarkan program akademik berteraskan industri bagi melahirkan
graduan holistik yang menjadi pilihan utama.

Katanya, menerusi usaha-usaha tersebut UTeM telah berjaya menempa nama dalam
senarai universiti terbaik di Asia apabila diumumkan dalam penarafan QS World
University Rankings: Asia 2022, semalam.

“Berdasarkan senarai penarafan terbaharu itu, UTeM telah diumumkan berada pada
kedudukan 401-450 pada masa yang sama menzahirkan UTeM telah meningkatkan
pencapaian dalam komponen yang berkaitan dengan reputasi, rangkaian
penyelidikan antarabangsa serta mobiliti pelajar.

“Ini merupakan tahun ketiga UTeM menyertai senarai penarafan tersebut.
Berdasarkan pencapaian ini, UTeM berada dalam 60% teratas di kalangan institusi
pengajian tinggi di Asia,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penarafan QS ini menilai 11 komponen utama dalam sesebuah universiti termasuk
pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta
reputasi yang mana kaedah ini telah diperkenalkan sejak 2009 lagi oleh penarafan
ini.

UTeM turut mengkonkritkan Pelan Strategik baharu yang dinamakan Seven Strategic
Goals of UTeM (SSG UTeM): 2021-2025 yang mana melalui Pelan Strategik ini,
UTeM telah mengenalpasti strategi serta inisiatif-inisiatif khusus bagi menghadapi
cabaran situasi semasa khususnya pasca pandemik serta cabaran akan datang.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM berharap untuk menambahbaik kedudukan ini
pada tahun akan datang. – MalaysiaGazette