Kawasan perumahan di Taman Tanjung Bendahara, Alor Setar dinaiki air.

ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar meningkat kepada 524 orang setakat jam 6 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata, setakat ini sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah tersebut susulan air banjir masih belum surut.

Jelasnya, walaupun keadaan cuaca agak baik hari ini, namun pihaknya berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Mohd Zain.

“Banjir di daerah Kota Setar ini bermula pada 31 Oktober, di mana hanya satu PPS dibuka ketika di Mukim Langgar namun hari demi hari air mula naik di kawasan lain sekali gus menyebabkan PPS tambahan terpaksa dibuka.

“Setakat ini, seramai 524 mangsa ditempatkan di tujuh PPS bagi daerah Kota Setar dan sekiranya keadaan kian buruk atau jumlah mangsa bertambah kita akan buka PPS baru bagi menampung jumlah mangsa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod setakat ini, PPS SK Langgar masih kekal 80 mangsa dari 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti seramai 67 mangsa dari 25 keluarga, SK Darul Hikmah seramai 118 mangsa dari 32 keluarga.

Bagi PPS SK Haji Wahab pula, menempatkan seramai 33 mangsa dari lapan keluarga, SK Convent seramai sembilan mangsa dari tiga keluarga dan SK Titi Gajah seramai 75 mangsa dari 26 keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast