Ahmad Maslan Barisan Nasional BN candidates Melaka state election
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan gabungan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan barisan 28 calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Ahmad berkata satu majlis akan dibuat sepenuhnya dalam talian menerusi Facebook.

“Pengumuman nama Calon #BN live di FB #UMNO Online Sabtu 6 November 2021 jam 10 pagi.

“Terima kasih memberi sokongan dan mengikuti,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Pengumuman itu difahamkan akan dibuat di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BN menerusi Ahmad Zahid membayangkan bahawa parti itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Malah BN turut dijangka menampilkan calon muka baharu daripada UMNO, MCA dan MIC yang akan bertanding dalam PRN Melaka, di samping mempertahankan beberapa muka lama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Untuk rekod, kesemua 28 DUN di Melaka mempunyai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita. – MalaysiaGazette