KUALA LUMPUR – Sebanyak 327 saman telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Deepavali 2021 yang dijalankan pada Rabu hingga awal pagi tadi.

Dalam masa yang sama, lapan buah motosikal telah disita atas kesalahan ubah suai struktur kenderaan (ekzos) di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Salleh, semua motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, semua motosikal berkenaan turut diarahkan mengubah ke struktur asal.

Turut ditahan menerusi operasi Motosikal / Op Pelbagai Kesalahan yang diadakan pada waktu yang sama ialah tujuh lelaki kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Semua yang ditahan dalam lingkungan 25 hingga 43 tahun di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” katanya menerusi kenyataan.

Sarifudin berkata, Operasi Khas yang merangkumi Samseng Jalanan/ Op Motosikal/ Op Pelbagai Kesalahan itu dijalankan sempena perayaan Deepavali 2021, diadakan di sekitar pusat bandaraya, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan Jalan P. Ramlee.

Tambah beliau, dalam operasi yang sama kira-kira 30 penunggang basikal telah diberi nasihat dan penerangan secara advokasi berkaitan dengan tatacara menunggang basikal dengan betul dan selamat.

“JSPT KL tidak menghalang aktiviti berbasikal namun penunggang-penunggang harus mematuhi aspek keselamatan yang telah ditetapkan dan juga mematuhi peraturan dan undang – undang jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna – pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette