Kakitangan KPJ Tawakkal berswafoto selepas menerima suntikan dos penggalak secara sukarela dan percuma menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 71.4 peratus daripada 1,075 responden yang terlibat dalam kajian Sedia Terima Dos Penggalak Covid-19 bersedia menerima dos tersebut.

Manakala 18.4 peratus responden pula menyatakan tidak pasti dan 10.2 peratus pula memilih untuk tidak mengambil dos tersebut.

Dapatan itu hasil kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI terhadap 1,075 responden.

Mereka yang memilih tidak dan tidak pasti untuk pengambilan dos penggalak kerana risau ada sebarang komplikasi selepas suntikan (59%).

Manakala 30.6 pula menyatakan rasa cukup selamat dengan dua dos vaksin.

Sebanyak 27.7 peratus lagi tiada alasan spesifik cuma tidak mahu ambil dos penggalak.

Sementara 14 peratus lagi menyatakan tidak memiliki pengalaman yang baik ketika proses vaksinasi dan 10.4 peratus reponden menyatakan mereka cukup kuat.

Sebanyak 79 peratus reponden yang memilih untuk menerima dos penggalak pula menyatakan rasa lebih selamat dengan pengambilannya.

Responden yang percaya dan patuhi arahan kerajaan pula 44.7%, memiliki pengalaman baik ketika proses vaksinasi 32.9%, mudah diserang Covid-19 17.4% dan tiada alasan spesifik cuma rasa lebih baik mengambil dos penggalak 15.8%.

UCSI dalam kenyataan berkata, kaji selidik ini menunjukkan tahap penerimaan orang awam terhadap dos penggalak adalah tinggi (71.4%) dengan alasan utama, mereka merasa lebih selamat dengan menerima dos ketiga itu.

Sementara bagi mereka yang tidak pasti dan menolak untuk menerima dos penggalak ini, sebahagian besarnya kerana tidak pasti dengan kesan selepas menerima suntikan tersebut.

Aktiviti ekonomi telah disambung semula sementara Malaysia telah mula menganggap Covid-19
sebagai endemik.

Dos penggalak mungkin dilihat sebagai perlindungan tambahan daripada Covid-19 dan membolehkan orang awam menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin.

Kebimbangan orang awam terhadap komplikasi selepas menerima dos penggalak tidak sepatutnya tidak diendahkan dan sebarang maklumat yang komprehensif, potensi mahupun statistik kes komplikasi perlu didedahkan kepada umum supaya mereka dapat membuat keputusan terhadap pengambilan dos penggalak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast