Abang Johari Tun Openg

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa Rabu, 3 November 2021.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu dalam sidang media khas jam 9 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama, tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia di Kuching.

Menurut beliau, kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya negeri Sarawak diadakan.

Jelas beliau, pembuburan itu dibuat setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk membatalkan proklamasi darurat di negeri itu pada 3 November lalu.

“DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun 2021, sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Sarawak.

“Proklamasi darurat tidak lagi berkuatkuasa, mengikut proklamasi ini, perintah darurat sepatutnya tamat tempoh pada 2 Februari 2022.

“Oleh kerana itu, DUN Sarawak akan dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari (selepas tarikh itu).

“Ia bagi memastikan hak rakyat Sarawak secara demokrasi untuk memilih kerajaan dilindungi, selaras dengan amalan demokrasi Parlimen,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak, pagi ini.

Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan menarik balik proklamasi darurat di Sarawak dan ia telah diwartakan pada 3 November 2021.

Perkara itu disahkan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat (Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Pembatalan Darurat (Sarawak) dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan rundingan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau juga berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak lagi mempunyai mandat rakyat yang diberikan pada 2016 untuk memerintah.

“Kami memegang kepada sumpah kami untuk memelihara dan melindungi Perlembagaan Sarawak dan memastikan hak rakyat selamat untuk memilih kerajaan.

“Kerajaan GPS merasakan ia adalah pengkhianatan sumpah jika Kerajaan GPS mahu mengantung kuasa apabila mandat rakyat sudah tamat tempoh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan pembubaran DUN Sarawak itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Kita punya speaker akan memberitahu (pembubaran DUN Sarawak) kepada pihak SPR secara rasmi.

Ini kerana DUN Sarawak telah dibubarkan pada 3 November 2021.

“Keadaan ini agak unik di mana sebaik sahaja Agong menarik balik darurat (Sarawak), secara automatik bubar (DUN Sarawak),” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu barisan pemimpin utama setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Semalam Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN-12) Sarawak.

Ketetapan itu setelah SPR menerima pemakluman rasmi daripada  Abang Johari.

Teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin hangat apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Penggal DUN Sarawak tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette