5,738 new Covid-19 cases have been recorded today and shifted the cumulative Covid-19 tally to 678,764 cases Covid-19 deaths Rt value
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan penemuan dua kes pertama COVID-19 subvarian Delta AY.4.2 di negara ini, melibatkan kes import pelajar Malaysia yang pulang dari United Kingdom (UK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua kes itu dikesan ketika mereka tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Oktober lepas.

Kedua-dua mereka telah menjalani ujian RT-PCR dan didapati negatif pada sampel pertama sebelum disahkan positif menerusi sampel kedua yang diambil pada 7 Oktober semasa dalam tempoh kuarantin.

“Sampel ini telah menjalani penjujukan genom penuh di Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) dan laporan keputusan telah dikeluarkan pada 30 Oktober lepas,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, varian AY.4. adalah antara 75 jenis lineage yang berasal dari Delta dan antara sublineage AY.4 adalah varian AY.4.2 yang juga dikenali sebagai ‘Delta Plus’.

“Varian AY.4.2 mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V dan sehingga akhir Oktober lepas, variant AY.4.2 merupakan 10 peratus daripada jumlah penjujukan genom penuh yang dijalankan di UK,” katanya.

Beliau berkata, Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada 20 Oktober lepas telah menetapkan AY.4.2 sebagai varian dalam siasatan (VUI).

“Untuk makluman, vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap varian ini dan langkah-langkah seperti kuarantin, pengujian, dan sebagainya yang dijalankan dapat membantu mengurangkan risiko penularannya di Malaysia terutama di PMA.

“KKM akan terus memantau dengan teliti dari semasa ke semasa bagi mengesan kewujudan subvarian Delta dalam komuniti,” katanya.

Dr Noor Hisham seterusnya memaklumkan kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan UMBI-UKM masing-masing telah mengenal pasti sebanyak 44 dan 46 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) Delta (B.1.617.2).

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI kini sebanyak 3,782 kes, iaitu 3,762 kes VOC dan 20 kes VOI.

Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 3,522 kes varian Delta, Beta (226 kes), dan Alpha (14 kes) manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat kes) dan Eta (tiga kes). – Bernama