Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan watikah kepada Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri Melaka N02 Tanjung Bidara, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Calon sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Ballroom Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemilihan enam calon wanita mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diyakini mampu memberi kemenangan.

Wanita PN dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Syukur Alhamdulillah, enam calon yang telah diperuntukkan kepada Wanita Perikatan Nasional untuk Pilihanraya Negeri Melaka pada kali ini.

“Ini menunjukkan keprihatinan pucuk pimpinan dalam mengangkat calon-calon wanita yang mampu untuk memberi khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keenam-enam calon berkenaan terdiri tiga calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dua wakil Parti Gerakan dan satu daripada Pas.

Mereka ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara; Azalina Abdul Rahman (DUN Rim); Dr. Nordina Abdul Latif (DUN Ayer Limau); Aziah Mohd Saad (DUN Kuala Linggi); Clarice Chan (DUN Bandar Hilir) dan Fong Khai Ling (DUN Kota Laksamana).- MalaysiaGazette