Dean Smith. Foto The Independent.

LONDON – Pengurus Aston Villa, Dean Smith akhirnya ditunjukkan jalan keluar apabila dipecat daripada jawatannya, lapor The Independet.

Rekod buruk tujuh kekalahan dalam 11 perlawanan liga awal musim ini membuatkan dia gagal mempertahankan kedudukannya.

Dalam kenyataan rasmi kelab, Aston Villa berkata kelab itu telah berpisah dengan ketua jurulatih, Dean Smith.

“Dean dilantik menjadi ketua jurulatih tiga tahun lalu, pada Oktober 2018 dan membimbing kelab kembali semula ke Liga Perdana Inggeris menerusi play off – pada musim pertama dia menguruskan kelab dengan rekod 10 kemenangan berturut turut pada akhir musim.

“Musim berikutnya, beliau membantu mengekalkan Villa di liga utama dan mengetuai pasukan ke final Piala Carabao di Wembley, kalah tipis 2-1 di tangan Manchester City,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aston Villa iaitu Christian Purslow menzahirkan penghargaan ke atas Smith yang membantu Villa bangkit di Liga Kejuaraan ketika mereka sedang dalam prestasi sukar.

Musim lalu, Smith berjaya membawa Villa menjadi pasukan yang digeruni namun malangnya segalanya serba tidak menjadi pada musim ini.

Kehilangan pemain tengah, Jack Grealish yang berhijrah ke Manchester City telah memberikan kesan kepada Smith. – Agensi.