Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dalang di sebalik akaun Twitter @edisi_siasatmy akan diketahui tidak lama lagi, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat akaun Twitter berkenaan.

“Ingin saya katakan setiap perkara yang disebarkan kebanyakannya untuk mewujudkan suasana sensasi.

“Setakat ini ktia masih lagi menjalankan siasatan, kita harap dan percaya dalam tempoh terdekat kita dapat mengenal pasti siapa individu atau kumpulan berada di belakang @edisi_siasatmy ini,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) 2021.

Baru-baru ini timbul akaun Twitter @edisi_siasatmy yang mendakwa salah laku rasuah dan penyelewengan melibatkan individu berjawatan dalam agensi kerajaan.

Tambah Acryl, setiap dakwaan yang disebarkan Twitter berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk semakan kesahihan.

“Setiap perkara itu kalau melibatkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) kita akan salurkan kepada JIPS untuk disemak kebenarannya,” tambahnya.

Selain Twitter @edisi_siasatmy, turut dikenal pasti sebuah akaun Telegram menggunakan nama Edisi Siasat juga didapati menyebarkan dakwaan-dakwaan tentang salah laku individu tertentu dalam agensi kerajaan. – MalaysiaGazette