Hasnoor Husin BN Barisan Nasional Bukit Katil State Assembly PRN Melaka state election Adly Zahari

MELAKA – Usaha meningkatkan ekonomi rakyat pasca pandemik Covid-19 dan infrastruktur bagi kira-kira 100,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil akan menjadi manifesto kempen calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasnoor Husin.

Menurutnya, tempoh 12 hari berkempen akan digunakan sebaik-baiknya untuk mendekati pengundi menerangkan hasratnya meningkatkan ekonomi penduduk yang kian terhimpit untuk menambah pendapatan.

“Di peringkat Bukit Katil, kita merangka manifesto untuk meningkatkan ekonomi rakyat kerana dengan pengundi seramai 25,000 dan penduduk sekitar 100,000 saya fikir Bukit Katil boleh dipertingkatkan ekonominya lagi.

“Selain itu adalah dari segi infrastruktur untuk termasuk bagaimana kita boleh mewujudkan tempat riadah yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Katil Rohaya Abdullah mengumumkan DUN berkenaan akan menyaksikan persaingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan bebas pada PRN 20 November ini.

Selain Hasnoor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri yang juga penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari; Ketua Pemuda Pas negeri Muhammad Al Afiz Yahya; dan calon bebas, Abdul Hamid Mustapah, 57, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gagasan Piagam Rakyat.

Sementara itu, Adly yang juga Naib Presiden Amanah ketika ditemui mengakui kempen norma baharu yang tidak membenarkan kempen secara bersemuka menyukarkan usaha semua calon mendekati pengundi.

“Justeru, saya berharap media arus perdana juga beri ruang kepada kita sampaikan mesej kepada rakyat, kalau lebih banyak maklumat sampai kepada mereka lebih baik untuk demokrasi negeri dan negara.

“Kempen norma baharu (juga akan) kita gunakan media sosial, edarkan risalah dengan jumlah yang terhad, sampaikan maklumat melalui kenderaan itu kita akan manfaatkan,” katanya.

Bagi Muhammad Al Afiz, beliau akan mengelak untuk menyentuh isu peribadi sebagai modal kempen norma baharu ini. – MalaysiaGazette