MELAKA – Empat calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil tiba di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Ali, bermula jam 8.45 pagi bersama seorang pencadang dan penyokong masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasnoor Husin tiba di pusat penamaan calon Dewan Tun Ali, jam 8.43 pagi diikuti calon Pakatan Harapan (PH) Adly Zahari selang seminit kemudian.

Ketua Pemuda Pas negeri Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya menjadi calon ketiga tiba jam 8.49 pagi sebelum calon Bebas yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gagasan Piagam Rakyat Abdul Hamid Mustapah, 57, tiba jam 8.53 pagi.

Semua calon kini sedang mendaftarkan pencalonan sebaik sahaja proses pendaftaran dibuka jam 9 pagi sebelum ditutup pada jam 10 pagi.

Suasana di pekarangan pusat penamaan calon juga berjalan lancar dalam suasana norma baharu tanpa kehadiran penyokong jentera parti bertanding.

Pada PIlilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14), Adly memenangi DUN Bukit Katil dengan 11,226 undi menyaksikan majoriti 3,159 undi menewaskan calon BN, Yunus Hitam dan calon Pas Muhamad Puhat Bedol masing-masing memperoleh 8,067 dan 2,237 undi. – MalaysiaGazette