Calon Perikatan Nasional N.04 Lendu, Abdullah Mahadi bercakap kepada media selepas selesai proses penamaan calon yang ditandingi tiga penjuru pada hari penaman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu,  Abdullah Mahadi akan memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, ia susulan kekangan yang dihadapi pihaknya untuk berkempen secara fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya kali ini.

“Memandangkan kempen sekarang ini banyak kekangan, mungkin lebih kepada media untuk menguar-uarkan hasrat (tawaran).

“Kita akan lebih (memanfaatkan) penggunaan media sosial,” katanya kepada pemberita di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Abdullah yang pertama kali menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya kali ini sedia berdepan dengan pencabarnya, Datuk Sulaiman Md Ali walaupun wujud persaingan sengit dengan penyandang kerusi DUN Lendu itu.

“Saya kali pertama menyertai pertandingan ini.

“Saya sendiri secara jujurnya menghormati ketua menteri kita ini, saya pun kenal dia, persaingan ini bagi saya satu persaingan yang sihat.

“Saya pulangkan kepada rakyat Masjid Tanah untuk terutamanya N04 Lendu untuk memilih siapakah yang menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri selepas PRN Melaka,” katanya.

Ditanya tentang tawaran yang bakal diberikan kepada pengundi DUN Lendu, Abdullah akan meneruskan komitmen yang dilakukan perkhidmatan dan inisiatif yang dimulakan pimpinannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini.

“Datuk Mas Ermieyati membawa politik dan keadaan yang harmoni, telus dan tidak mengira sentimen perkauman mahupun parti.

“Hasrat saya selari dengan hasrat Datuk Mas yang sentiasa beri perkhidmatan kepada semua orang terutama masyarakat Masjid Tanah dan Lendu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette