1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak sebulat suara semakan kehakiman yang telah dikemukakan terhadap bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkaitan kelayakannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan bagi kes berprofil tinggi.

Semakan kehakiman itu telah dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee merupakan peguam yang mengetuai kes-kes yang sedang dihadapi oleh Najib.

Tiga panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Hakim Datuk Lee Heng Cheong dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak rayuan tersebut.

Yaacob memutuskan Sri Ram adalah individu yang sesuai serta berkelayakan untuk dilantik sebagai TPR Kanan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah

Mahkamah hari ini juga memutuskan keputusan Mahkamah Tingggi bukan terkhilaf ketika menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar kesahan pelantikan Sri Ram.

Kata Yaacob, mahkamah tidak mempunyai keraguan terhadap Sri Ram, malah beliau adalah seorang yang layak dan sesuai untuk dilantik sebagai TPR Kanan.

Sebelum ini, Najib mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram, dengan disokong oleh dua afidavit yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai TPR di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah dan juga menjadi Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga memohon diisytiharkan Sri Ram telah bertindak dan/atau terus bertindak dalam konflik kepentingan berdasarkan pelantikannya sebagai TPR kanan, telah mempamerkan sikap berat sebelah.

Juga male fide dan inter alia, dengan membuat andaian dan menentukan lebih awal bahawa pemohon bersalah malah sebelum beliau secara rasmi didakwa di mana-mana mahkamah atau sebarang perintah atau relief yang mahkamah mungkin dapati sesuai dan betul dalam keadaan itu. -MalaysiaGazette