JPJ Pulau Pinang kompaun kenderaan berat yang parkir tepi jalan hingga menyebabkan lalu lintas terhalang di sekitar Batu Maung.

BATU MAUNG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengambil tindakan terhadap 48 buah kenderaan berat yang menjadikan jalan raya di sekitar Jalan Batu Maung dan Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini sebagai tempat parkir.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, bertindak atas aduan awam Unit Operasi JPJ negeri melakukan penguatkuasaan di dua lokasi tersebut semalam.

Adenan.

Jelas beliau, langkah penguatkuasaan itu diambil susulan tindakan pemandu meletakkan kenderaan berat di kiri dan kanan jalan menyebabkan laluan empat lorong itu menjadi sempit serta sesak pada waktu puncak.

“Selain itu, tindakan mereka juga menyebabkan pandangan pengguna jalan raya lain terhalang terutamanya di simpang jalan. sekali gus boleh berisiko berlaku kemalangan.

Pihak JPJ mengeluarkan notis yang memerlukan pemilik kenderaan hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi itu, sebanyak 48 notis di bawah Seksysn 115(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang memerlukan mereka hadir ke pejabat JPJ.

“Kompaun juga dikeluarkan terhadap kesemua mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Adenan, pemilik kenderaan perlu faham garis panduan ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat yang mana kenderaan tersebut perlu mempunyai tempat parkir yang telah disyaratkan dan tidak boleh meletakkan kenderaan tersebut di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kita juga akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan tersebut agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast