Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengetuai bacaan Ikrar Bebas Rasuah pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Anti-rasuah Organisasi (OACP) Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kebenaran untuk penonton makan dan minum ketika menyaksikan acara-acara sukan di dalam stadium akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa mendengar keluh kesah orang ramai terutamanya penyokong bola sepak tempatan.

Katanya, kebenaran tersebut dijangka diumumkan sedikit masa lagi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebelum ini kita dengar banyak keluhan daripada orang ramai apabila mereka dapat menonton bola sepak sebagai contoh di stadium tetapi tidak dibenarkan untuk makan dan minum.

“Kita dengar keluhan orang ramai, kerajaan juga mendengar dan saya sendiri telah berhubung dengan Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) dan menyampaikan keluhan orang ramai ini kepada beliau.

“Beliau mendengar perkara ini dan kita akan umumkan tidak berapa lama lagi, tentunya ada berita baik buat penonton di stadium yang menyaksikan acara-acara sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Peringkat KBS Tahun 2021, di sini, hari ini.

Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap divaksin termasuk membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 berkuatkuasa 1 Oktober.

Menurut beliau, penonton perlu memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast