Pemain Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (kiri) diasak pemain Penang FC, Abdul Latiff Suhaimi (kanan) pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri mengakui masih belum mampu beraksi 90 minit selepas akhirnya mendapat peluang untuk kembali diturunkan sejak aksi ketiga TM Piala Malaysia sebagai pemain gantian.

Bekas pemain Perak itu sebelum ini terpaksa melupakan musim 2021 sepenuhnya selepas berdepan kecederaan pergelangan kaki pada awal Mei lalu, namun akhirnya kembali mendapat kepercayaan untuk beraksi.

Kehadirannya sejak perlawanan menentang Kuching City FC dapat memperkuatkan lagi jentera serangan walaupun hadir selaku pemain gantian dan Shahrel membuktikan dirinya masih lagi berbisa apabila meledak gol tunggal ketika berdepan Terengganu FC, Ahad lalu.

Namun, penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2020 ini menegaskan dia masih lagi berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi penuh kerana khuatir kecederaan kembali menghantui diri.

“Setakat ini apabila diberi tanggungjawab saya rasa tidak mustahil untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dan Alhamdulillah malam ini (Ahad) saya berjaya menjaringkan gol.

“Saya rasa macam terlalu cepat juga masuk padang sebab sasaran sebenarnya untuk mula balik musim depan, tetapi selepas proses pemulihan berjalan lancar, saya dapat beraksi semula untuk musim ini, cuma kena kerja lebih keras lagi untuk tahun depan.

“Kaki saya dah pulih sepenuhnya, cuma hanya mental dan fizikal sahaja kena lebih kuat dan nak bermain 90 minit sepenuhnya memang agak sukar, tetapi saya akan cuba perlahan-lahan untuk mungkin masuk di separuh masa kedua terlebih dahulu,” jelasnya.

Bercakap mengenai kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC, Ahad lalu, pengendalinya Karsten Neitzel menyifatkan barisan pemain hilang keyakinan sebaik sahaja lawan meraih dua gol pada babak kedua perlawanan.

Meskipun sudah melayakkan diri ke pusingan suku akhir, beliau mengharapkan pasukan tetap belajar daripada kesilapan untuk aksi terakhir kumpulan menentang Perak FC pada malam esok.

“Kita beraksi dengan lebih baik pada separuh masa kedua, tetapi pemain melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan tidak agresif sehingga Terengganu dapat dua gol menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan.

“Banyak benda kita ambil mudah dan pemain nampak kurang berkeyakinan dan terlalu berhati-hati, jadi harap selepas ini mereka dapat beraksi dengan lebih baik.

“Mengenai Shahrel Fikri pula, saya ada bercakap dengan dia minggu lalu untuk menambahkan lagi minit permainan dia dan dia kata tiada masalah untuk beraksi 45 minit dahulu”, jelasnya.

Aksi terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung pada malam ini dan esok menyaksikan Terengganu akan menentang Kuching City FC dan Selangor pula akan berdepan Perak FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast