KUALA LUMPUR – AirAsia Group mengumumkan pelantikan Colin Currie, sebagai Ketua Pegawai Komersial, yang akan memacu pertumbuhan syarikat melalui strategi berdasarkan pengguna menggunakan data dan mencapai objektif kewangan untuk syarikat penerbangan AirAsia dan unit digitalnya.
Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai hari ini.
Colin yang juga bekas Pengarah Urusan Adidas Asia-Pasifik, meliputi China dan wilayah sekitarnya, Korea Selatan, Jepun, serta negara-negara Asia Tenggara dan Pasifik, bertanggungjawab menjadikan jenama sebagai salah satu jenama pengguna terbaik di rantau ini, meningkatkan hasil syarikat lima kali ganda di China dan merapatkan jurang bahagian pasaran daripada tempat keempat sehingga menjadi antara yang teratas.
Beliau juga bertanggungjawab menambah baik model operasi jenama tersebut dan memacu pertumbuhan syarikat di pasaran serantau.
”Saya berbesar hati untuk menyertai AirAsia Group dengan pengalaman dan pengetahuan saya dalam meningkatkan keseluruhan jenama dan prestasi jualan, terutamanya dalam perniagaan digital baharu.
”Saya telah mengikuti kisah kejayaan AirAsia yang menakjubkan dan saya yakin bersama-sama pasukannya, kami boleh mempercepat dan memperkukuhkan AirAsia sebagai sebuah syarikat teknologi digital dan gaya hidup terkemuka di Asean. Ini adalah masa yang terbaik untuk menyertai AirAsia dalam revolusi syarikatnya di era digital ini.”
Pelantikan ahli perniagaan Malaysia yang berpengalaman tersebut bertujuan untuk menegaskan komitmen dan fokus strategik AirAsia terhadap peningkatan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagang yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelantikan Colin juga adalah bukti kukuh AirAsia untuk memacu pertumbuhan syarikat pasca-Covid.
Ia juga merupakan bukti kepada jenama kami yang kuat dan mempunyai bakat yang hebat meskipun kami telah terjejas berikutan pandemik ini. – MalaysiaGazette