Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Seri Chendana, Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Barisan Nasional menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, SOP yang dikenakan oleh pihak berkenaan ketika ini memberi kesan kepada petugas jentera di lapangan, sekali gus menyukarkan gerak kerja berkempen.

“Sekarang ini saya lihat seolah-olah tak boleh buat apa. Lebih baik tiada pilihan raya. Lebih baik kita main bertepuk bertampar sahaja di rumah.

“Saya hairan kerana kita dapat laporan jentera kita tak boleh pasang bendera, tidak boleh berada di bilik gerakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Di situ orang akan bermesyuarat pagi memberikan maklum balas ke Command Centre, jadi saya harap supaya SPR memikirkan semula dan tak usah terlampau sangat… sampai ada ambil yang ambil kad pengenalan petugas jentera,” katanya yang juga merupakan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN.

Mohamad berkata, apa yang berlaku ketika ini sedikit sebanyak merencatkan pergerakan jentera terutamanya bagi memasang poster serta bendera BN di sekitar negeri itu.

Ujarnya, meskipun memahami larangan dikenakan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19, namun, kelonggaran perlu diberikan terutama kepada calon dengan SOP yang ditetapkan.

“Jentera kami trauma, takut…Itu sebabnya tidak banyak bendera BN dan poster, kerana mereka takut nak keluar. Ini amat sedih.

“Kita nak amalkan demokrasi di negara ini tapi masa sama kita faham kerajaan perlu kekalkan SOP ketat, bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak merebak,” tambahnya.

Katanya lagi, beliau faham tidak ada ceramah boleh dibuat ketika kempen dalam norma baharu namun, tidak wajar sekiranya poster kempen tidak boleh dihantar ke rumah-rumah atau melakukan walkabout.

“Kita tak buat ceramah besar-besaran. Kalau tak (dibenarkan) berjalan ke rumah itu keterlaluan.

“Kita kecewa. Selaku Pengarah Pilihan Raya, saya mohon pihak berkenaan duduk semula dan lihat semula SOP yang amat ketat ini,” ujarnya.

Dengan memberikan contoh Mohamad berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River dan Chini sebelum ini memperlihatkan kejayaan tanpa sebarang kluster wujud.

Justeru, kaedah kempen perlu diperhalusi semula oleh SPR untuk memberi ruang kepada parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu.

“Kita benarkan berkempen, tetapi dengan syarat minimum orang terlibat dan terbabit.

“Boleh kita buat, dah berjaya dah pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River, Chini. UMNO dan BN orang kata mengambil SOP dengan serius sebab itu tiada ada apa-apa insiden,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak sedar lagi dari pengalaman PRN Sabah……..
    Kenapa tak desak kerajaan membenarkan saluran TV/Radio digunakan untuk slot berkempen/ceramah secara percuma untuk semua calon?

Comments are closed.