Adly Zahari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi disini menolak permohonan semakan kehakiman yang dilakukan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bagi mencabar keputusan pembubaran Dewan Undangan (DUN) Melaka baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri (TYT) yang membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan keputusan yang dibuat ketua negeri iaitu TYT, Tun Mohd Ali Rustam tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Pembubaran oleh badan perundangan tidak boleh dipertikai.

“Ini juga sebab mengapa permohonan semakan kehakiman tidak boleh dilakukan,” katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Sulaiman dan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof sebagai responden pertama dan kedua.

Sementara responden ketiga dan keempat ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd Ali.

Adly menuntut perisytiharan nasihat oleh Sulaiman terhadap responden keempat (Mohd Ali) pada atau sekitar 4 Oktober lalu untuk membubarkan DUN Melaka ke-14, berniat jahat (mala fide).

Beliau mendakwa responden pertama ketika itu tidak lagi mempunyai sokongan besar ahli DUN Melaka selain dakwaan responden bertindak secara tidak munasabah dengan menasihati responden keempat membubarkan DUN Melaka.

Ini kerana, katanya, ketika ini keadaan pandemik atau endemik Covid-19 bukan sahaja melanda Melaka tapi seluruh negara.

Adly juga memohon perintah agar writ dan notis yang dikeluarkan responden ketiga (SPR) untuk mengadakan PRN negeri pada 20 November ini dibatalkan serta-merta. – MalaysiaGaztte