MELAKA – Sebuah pertubuhan membuat laporan polis berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap pengerusinya yang dipercayai bertujuan menjejaskan reputasi calon dan proses demokrasi Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.
Tanpa menamakan calon berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan hairan dengan tindakan penulis blog, akitivis politik dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membangkitkan kes mahkamah berkaitan dirinya lima tahun lalu.
“Dalam suasana kempen PRN Melaka ketika ini, tiba-tiba timbul dakwaan tiga pihak ini mendakwa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) merampas RM150 juta dari saya, selain menuduh saya mempunyai 56 lot tanah di Sabah, mengutip wang hasil kegiatan judi haram.
“Saya ingin menegaskan, tuduhan ini hanyalah semata-mata agenda politik dalam suasana PRN yang mungkin dirasakan pihak-pihak berkenaan saya menjadi kambing hitam pemimpin-pemimpin tertentu.
“Ini adalah agenda untuk mencalarkan imej seseorang yang menjadi musuh politiknya untuk merosakkan proses demokrasi sewaktu kempen PRN ini,” katanya.
Ditanya, siapakah calon bertanding PRN yang dimaksudkan, Mohd Yusof enggan menamakannya.
“Mungkin ianya calon PRN, penyokong, atau pemimpin dalam kalangan orang politik saya tak pasti apa agenda mereka, siapa sasaran politik mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau membuat tiga laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah dengan menamakan tiga pihak untuk disiasat pihak polis kerana membuat tuduhan berniat jahat tanpa mempunyai bukti yang kukuh.
“Jadi kepada NGO belia dan dua individu ini saya harap mereka akan disiasat polis, saya nak tengok sejauh mana mereka ada bukti terhadap semua tuduhan yang dilemparkan.
“Saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat sedangkan ia tidak berlaku. Sekadar cakap saya ada RM150 juta tanpa bukti, baik cakap saya ada bilion, trilon ringgit.
“Langkah kedua, saya juga akan mengambil tindakan undang-undang dengan melantik peguam untuk memfailkan kes ini ke mahkamah untuk melihat sejauh mana mereka ini boleh mempertahankan diri mereka ini,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan berkenaaan. – MalaysiaGazette