Home Nasional Tips keselamatan elektrik semasa musim tengkujuh

Tips keselamatan elektrik semasa musim tengkujuh

Berikutan pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai musim tengkujuh yang dijangka bermula 3 November 2021 hingga Mac 2022 dengan episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dari November 2021 hingga awal Januari 2022, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan orang ramai di kawasan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik berikut:

Ketika banjir (di rumah):

• Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku;
• Hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat;
• Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat;
• Sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama;
• Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik;
• Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.
• Jangan pegang tiang elektrik atau dawai umbang semasa banjir atau hujan. Menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang jemuran kain adalah dilarang sama sekali.
• Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah;

Ketika banjir (di tempat awam)
• Hindari daripada menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik;
• Elakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam di mana tahap penglihatan adalah kurang baik supaya tidak tersentuh talian.
• Jangan sekali-kali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik.
• Jauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih aktif. Hubungi TNB secepat mungkin untuk tindakan segera.

Selepas banjir pula, pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah. Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.

Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel elektrik yang putus semasa banjir.

Pengguna boleh menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir. Bagi Sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine.