Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

JIKA diperhatikan saban hari pemfailan kes memohon kerakyatan melalui Mahkamah semakin hari semakin meningkat. Kami mengambil contoh satu kes baru-baru ini seorang individu semasa dilahirkan di kem pelarian Pahang pada tahun 1986 status kedua-dua ibu bapa beliau adalah pelarian daripada Kemboja sebelum ibu bapa beliau mendapat kerakyatan Malaysia. Individu tersebut memfailkan kes di Mahkamah menuntut pengesahan bahawa beliau layak mendapat hak kerakyatan Malaysia.

Tuntutan dibuat berasaskan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dimana mana-mana individu boleh memohon menggunakan prosedur undang- undang bagi memohon hak kerakyatan sekira dilahirkan di Malaysia selepas Hari Malaysia 16 September 1963 tetapi tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat yang dinyatakan di dalam Jadual Kedua.

Sebelum memohon ke Mahkamah kebiasaannya permohonan akan dibuat terlebih dahulu di Jabatan Pendaftaran Negara melalui isi borang dan sekiranya masih ditolak peluang masih terbuka kepada pemohon untuk melanjutkan ke Mahkamah.

Di dalam kes tersebut, pemohon menyatakan bahawa beliau memenuhi elemen Artikel 14 (1) (b) dan Jadual Kedua tersebut iaitu dilahirkan di Malaysia dan bukannya dilahirkan sebagai warganegara negara lain. Selain itu, beliau telah tinggal di Malaysia seumur hidup selama 35 tahun dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Kemboja kerana semua keluarga dan kehidupan di Malaysia. Pihak kedutaan Kemboja juga telah mengeluarkan surat menyatakan beliau tidak pernah memegang paspot atau apa-apa dokumen identiti negara Kemboja.

Mahkamah dalam membicarakan kes tersebut menekankan pada isu status dan kewarganegaraan ibu-bapa pemohon semasa beliau dilahirkan. Surat beranak beliau tertera sebagai bukan warganegara serta memegang warganegara Kemboja dan ibu bapa beliau tertera sebagai ‘maklumat tidak diperolehi’.

Berdasarkan syarat di dalam Seksyen 1 (e) di dalam Jadual Kedua hanya memerlukan menunjukkan bahawa seseorang itu dilahirkan di dalam Malaysia dan bukan warganegara mana-mana negara kerana ia adalah peruntukan hanya berdasarkan prinsip jus soli atau kewarganegaraan berdasarkan tempat lahir dan pemohon menyatakan beliau telah memenuhi syarat tersebut. Tetapi Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bagi memenuhi Seksyen 1 (e) elemen berdasarkan keturunan atau berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa juga harus dipenuhi.

Peguam Negara seterusnya memetik Artikel 4 undang-undang kewarganegaraan Kemboja untuk mengatakan definisi anak yang sah adalah tidak kira di mana mereka dilahirkan mereka akan mengikut kewarganegaraan ibu bapa Kemboja mereka dan memperoleh kewarganegaraan Kemboja dan menyatakan pemohon adalah mempunyai kewarganegaraan Kemboja. Peguam Negara juga menyatakan bahawa pemohon tidak boleh menunjukkan beliau seorang Stateless hanya dengan bergantung kepada sijil kelahiran dan surat kedutaan Kemboja, sambil menyatakan bahawa surat kedutaan itu tidak menyatakan bahawa beliau tidak pernah memohon kewarganegaraan Kemboja dan juga tidak mengatakan bahawa ibu bapanya bukan warganegara Kemboja.

Apa-apa keputusan adalah tertakluk kepada budibicara pihak Mahkamah berdasarkan hujah dan nas undang-undang yang sedia ada. Dokumen- dokumen berkaitan amatlah penting bagi menyokong permohonan individu ke Mahkamah seperti paspot serta permit masuk ibu-bapa ke Malaysia, dokumen pendaftaran perkahwinan dan lain-lain bagi mengukuhkan tuntutan tersebut. Itulah diantara masalah utama bagi individu-individu Stateless di Malaysia tidak berjaya di dalam membuat permohonan kerana kekurangan dokumen sokongan yang diminta.

Rentetan dari kes tersebut, MHO percaya ada banyak lagi yang alami serupa dan MHO sedaya upaya akan bantu membuat permohonan ke Mahkamah bagi memberikan hak pada golongan stateless yang memenuhi syarat perlembagaan.

Datuk Hishamuddin Hashim
Aktivis dan Peguam
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)