BUTTERWORTH – Sebuah kilang memproses kicap di sini, diarah tutup dua minggu oleh Jabatan Kesihatan negeri selepas penemuan bulu burung, daun kering serta fungus (kulat) di dalam tong perapan kacang soya itu.
Ops Bersih yang dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bermula jam 9.30 pagi itu turut membawa kepada pendedahan pemilik premis menggunakan tong gentian kaca yang sama sejak 20 tahun lalu untuk proses perapan.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu itu turut mengitar semula botol plastik untuk mengisi kicap.
Jelas beliau, botol tersebut memang boleh diguna pakai semula namun hasil pemeriksaan mendapati cara pembersihan yang dilakukan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain tercemar.
“Hasil pemeriksaan, kita dapati tong gentian kaca yang digunakan untuk memproses perapan itu sudah mula mereput serta terlalu buruk ekoran faktor cuaca.

“Semakan lanjut, kita juga menemui kulat, bulu binatang dan daun kering dalam tong pemerapan itu.
“Ini menunjukkan tidak mustahil najis burung boleh termasuk semasa pemerapan kacang soya dilakukan kerana tiada sebarang pelapik diletakkan di atas sebagai penghalang benda asing masuk ke dalam tong pemerapan itu,” kata Mohd Wazir.,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selain mengarahkan penutupan selama dua minggu, kilang terbabit turut dikompaun di bawah Peraturan 11(2), Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana menggajikan pekerja tanpa suntikan tifoid dan Peraturan 34 membabitkan kebersihan premis yang mana nilai keseluruhannya berjumlah kira-kira RM6,000.
Difahamkan kilang itu memasarkan keluarannya secara komersial berdasarkan kuantiti yang dihasilkan. – MalaysiaGazette