Jurucakap MCA, Saw Yee Fung bercakap pada sidang media menyangkal dakwaan calon Pakatan Harapan N.19 Kesidang, Allex Seah di Bilik Gerakan Utama MCA, World Youth Hotel, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Tindakan calon Pakatan Harapan (PH) N19 Kesidang, Allex Seah Shoo Chin melemparkan tuduhan tidak berasas dan memutarbelitkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu kabotaj disifatkan perbuatan menjijikkan.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, perbuatan itu dilihat lebih kepada untuk meraih publisiti murahan dengan menggunakan media untuk memudaratkan negara dan rakyat.

“Shoo Chin mendakwa tindakan Ka Siong selaku Menteri Pengangkutan membatalkan dasar pengecualian kabotaj telah menyebabkan negara kehilangan dana asing serta menyebabkan kerugian berpuluh bilion ringgit. Dakwaan ini tidak masuk akal sama sekali.

“Melalui perdebatan dengan Lim Guan Eng pada 2 November, Ka Siong telah menayangkan klip video mesyuaratnya bersama wakil NTT Limited yang juga merangkap penyelaras bagi projek Kabel Optik Dasar Laut Apricot.

“Apa yang jelas, projek tersebut telah dirancang semenjak tahun 2017 lagi dan Malaysia sememangnya tidak pernah tersenarai dalam projek tersebut,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA hari ini.

Menurut Yee Fung, syarikat NTT turut mengesahkan dalam klip video tersebut, bahawa ia akan menyambungkan Singapura, Malaysia dan India melalui satu lagi projek kabel dasar laut yang dinamakan sebagai MIST.

“Ini membuktikan pembatalan dasar pengecualian kabotaj bukan sahaja tidak menyebabkan sebarang kerugian ekonomi kepada negara, bahkan melindungi kedaulatan negara dan kepentingan awam,

“Ini kerana kapal dan rakyat tempatan didahulukan, bukannya kapal asing.

“Kalau Shoo Chin sanggup memutar-belitkan fakta semata-mata kerana agenda politiknya, walaupun telah diberikan bukti yang nyata, bagaimanakah rakyat hendak memberikan mandat kepadanya,” katanya.

Shoo Chin juga dibidas kerana mendakwa perubahan laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) demi kepentingan MCA Bentong sedangkan beliau tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong hujahnya.

Yee Fung juga mengingatkan pertimbangan utama sesuatu projek mega sepatutnya dilihat dari segi manfaat kepada ekonomi dan rakyat secara menyeluruh.

“Punca segala masalah hari ini adalah kerana tindakan bekas Menteri Pengangkutan PH, Anthony Loke yang telah melencongkan laluan asal ke Negeri Sembilan.

“Ini kerana faktor politik dan kepentingan diri bukannya faktor ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, pengubahan laluan kali ini untuk memperbetulkan kepincangan bermula dari zaman pentadbiran PH bagi memastikan pelaburan kerajaan dalam projek mega ini akan dapat membawakan manfaat ekonomi yang maksimum kepada negara dan juga rakyat,” jelasnya.

Selain itu, Shoo Chin tidak membuat sebarang usul periksa mengenai isu penangguhan Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) untuk ditender semula.

“Individu yang mahu tender dibuka semula bukan orang lain, tetapi Loke sendiri, untuk mengurangkan kos, tetapi kemudiannya projek itu telah dianugerahkan melalui rundingan terus.

“Ka Siong hanya memperbetulkan apa yang salah. Apabila sudah menjadi pembangkang, DAP membantah tender terbuka pula? Sila jelaskan pendirian anda dan parti anda, Shoo Chin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette