Calon Perikatan Nasional N20 Kota Laksamana, Karen Fong Khai Ling bercakap kepada media selepas melawat muzium bersejarah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Muzium Kaligrafi Sim Mow Yu, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

KOTA LAKSAMANA – Isu banjir menjadi perkara utama yang akan diselesaikan oleh Fong Khai Ling sekiranya beliau mendapat mandat sebagai wakil rakyat di kawasannya.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, isu banjir merupakan masalah yang sering menjadi rungutan rakyat sejak sekian lama dan ia perlu diselesaikan segera.

“Masalah banjir ini dah lama berlaku tapi saya hairan sehingga ke hari ini ia tidak boleh diselesaikan.

“Sekiranya saya dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka, akan saya pastikan masalah yang berlaku ini dapat dirungkai dengan sebaik mungkin,” kata calon dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Khai Ling yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana  turut berjanji akan menyelesaikan isu kekurangan pekerjaan membabitkan golongan muda di kawasannya.

Isu tersebut perlu dipandang serius kerana ia membabitkan kebajikan dan masa depan golongan berkenaan yang tidak boleh dibiarkan.

Katanya, disebabkan kekurangan peluang kerjaya untuk golongan itu ramai anak-anak muda berhijrah ke bandar-bandar besar, sekali gus merencatkan ekonomi di Melaka.

“Saya nak cipta peluang agar golongan muda di Melaka ini tidak akan meninggalkan kampung halaman dan mereka boleh tinggal di sini bersama keluarga masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, berkempen dalam norma baharu dengan terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak menjadi halangan kepada dirinya untuk menyampaikan makllumat kepada pengundi.

Oleh itu dia hairan dengan rungutan segelintir pihak yang bertanding apabila memberikan pelbagai alasan kononnya kempen seperti sekarang ini menyukarkan mereka.

Jelas beliau, semua pihak perlu faham dengan tindakan yang diambil oleh pihak berwajib dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang belum berakhir.

Tambahnya, tidak perlu menukar SOP tersebut sebaliknya, lebih baik jika pematuhan diteruskan untuk kebaikan bersama.

“Saya rasa ikut SOP ini adalah sangat bagus dan saya lebih senang kalau semua dibuat (kempen) secara online.

“Yang paling penting adalah keselamatan rakyat di Melaka. Jadi, tak perlulah tukar SOP,” katanya. – MalaysiaGazette