Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat balak yang mengaut keuntungan berbilion ringgit harus dipertanggungjawabkan untuk mengurus bekas jalan balak, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu beliau mempertikaikan jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Hasbi Habibollah kepada pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau (GPS) mengenai rancangan penyelenggaraan jalan tanah dan batu yang tidak diselenggarakan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di kawasan pedalaman.

“Bukan jawab kata sudah lepas, bukan tanggungjawab dia (syarikat balak) kerana jalan yang bukan jalan balak syarikat berkenaan pun dirosakkan (seperti) di Sarawak dan Sabah itu kedudukannya.

“Yang berkait dengan MARRIS ini, kita tahu ini urusan kerajaaan negeri, itu betul tetapi seperti yang dibangkitkan semalam oleh Ahli Parlimen Johor Bahru bahawa jalan MARRIS ini diselenggara oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab dan menyebabkan ketirisan dan wang RM1 bilion itu tidak sampai ke bawah.

“Apakah ini bukan merupakan pertanggungjawaban, sekurang-kurangnya KPLB memantau kedudukan ini, jangan kata hanya lepas sahaja dengan mengatakan ini tanggungjawab negeri. KPLB (kena) kenal pasti (kerana) dibawah tanggungjawab kementerian dan isu luar bandar.

“Saya ingin tegaskan pemantauan itu walaupun dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri, KPLB tidak boleh jawab lepas tangan termasuk mengenai lori-lori dan syarikat balak tadi,” kata Anwar.

Bagaimanapun Hasbi berkata, jalan bekas balak yang dimaksudkannya merujuk kepada jalan balak yang sudah lama ditinggalkan.

Jelas beliau, kementerian sedang mengenal pasti  jalan-jalan yang terbengkalai dan ditinggalkan oleh syarikat balak untuk didaftarkan bagi membolehkan peruntukan MARRIS diberikan.

“Dalam jawapan saya adalah jalan balak yang sudah ditinggalkan yang ini kita minta dikumpulkan jadi jalan negeri, ini pun kita harus daftarkan.

“Jalan yang sedia dipakai oleh balak sekarang ini memang mereka selenggara, kalau tak selenggara mereka sendiri tak boleh pakai dan rakyat di pedalaman guna jalan ini, kita risau apabila jalan itu sudah tidak ada tuan punya, itu kita ambil alih,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast