Keadaan sebuah Perodua Myvi yang dipandu oleh imam pertama Surau Al-Hidayah, Taman Bukit Kajang.

KUALA LUMPUR – Imam kedua di Surau Al-Hidayah, Taman Bukit Kajang, dekat sini, maut manakala seorang lagi jemaah cedera akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh imam pertama surau itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, imam kedua yang dikenali sebagai Haji Hatim, 78, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang jemaah yang juga pesara berusia 76 tahun patah lutut kanan dan pergelangan kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima makluman daripada Pusat Kawalan Daerah mengenai satu kejadian kemalangan maut.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, imam pertama berusia 76 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi sedang mengundurkan kenderaan dari lot parkir pekarangan surau lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan lain.

“Imam pertama yang baru selesai solat Subuh di surau berkenaan telah panik lalu menggerakkan keretanya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di pekarangan surau.

“Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, Azman turut menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu walau di mana mereka berada.

“Mungkin ada keperluan pemandu berumur untuk periksa kesihatan demi memastikan kesesuaian untuk memandu,” katanya. – MalaysiaGazette