TEHEL – Bukan sekali atau dua kali, sebaliknya sebahagian penduduk Kampung Tehel di sini terpaksa mengharungi kepayahan memindahkan perabot dan barang-barang berharga apabila kediaman mereka dilanda banjir sebanyak lima kali setahun!

Umpama sudah jatuh ditimpa tangga bukan sahaja barangan mereka rosak malah ada kalangan penduduk terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit, lebih memeritkan ‘penderitaan’ mereka umpama tidak siapa ambil peduli.

Salah seorang penduduk Kampung Tehel, Rahmah Tasrip, 65, meluahkan rasa kecewa kepada MalaysiaGazette berhubung kejadian banjir yang semakin teruk sehingga paras air mencecah lebih dua kaki di kawasan kediamannya sejak Oktober tahun lepas.

Rahmah Tasrip

Katanya, 2020 menyaksikan kediamannya dilanda banjir sebanyak tiga kali iaitu pada 16 Oktober, 19 November dan 26 Disember.

Siapa sangka bencana yang sama berulang pada tahun ini iaitu pada 17 Mei dan yang terbaharu 20 Oktober lalu menyebabkan Rahmah sekeluarga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit untuk kos pembersihan rumah, termasuk perabot serta cuci tilam.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila hujan lebat menyebabkan punca air mengalir dari taman perumahan berhampiran dan memenuhi kampung tersebut.

Rahmah menambah, keadaan sungai bersebelahan yang sempit, tidak diselenggara secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), menyebabkan air bertakung sehingga melimpah ke kawasan rumah.

“Kalau orang masuk paras dada pun tak sampai dan keadaannya semak. Dia (JPS) janji nak mendalamkan . Bulan 12, bila kami bising-bising, mereka korek (sungai). Selang beberapa bulan semak semula. Tak boleh juga,” jelasnya.

Beliau turut meluahkan rasa terkilan apabila agensi yang terbabit memaklumkan kepadanya tiada peruntukan untuk menyelesaikan isu banjir di kampung berkenaan.

Rahmah yang tinggal bersama dua anaknya berkata, terdapat tiga lagi rumah dalam kawasan yang sama turut terjejas teruk baru-baru ini, termasuk rumah abang dan anak saudaranya yang terletak bersebelahan Sungai Paya Kundang.

“Kita sudah mengadu dengan pihak JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Mereka ada juga datang, tapi tiada tindakan,” jelas Rahmah apabila ditanya tindakan pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau sekeluarga kini hanya menggunakan katil besi dan menempatkan kesemua peralatan elektrik di atas kerusi untuk mengelakkan kerugian jika berlaku banjir yang tidak dijangka.

Anaknya, Muhammad Haniff Ab Hamid, 32, yang bekerja di Klang, Selangor pula berkata, pembinaan sebuah masjid berhampiran rumah tersebut juga menambah kepada kejadian banjir berulang itu.

Menurutnya, aduan juga telah dilakukan melalui dalam talian di laman sesawang JAS, bagaimanapun agensi itu berkata ia bukan tanggungjawab pihaknya.

“Sepatutnya, kalau kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di kawasan rumah dan menjejaskan alam sekitar, JAS patut ambil tanggungjawab. Tapi, mereka bagi tahu bukan tanggungjawab dia. Tapi dia kata dia dah sampaikan lah kepada saluran yang lain,” ulas Haniff.

Beliau yang bekerja dalam sektor pembinaan juga berkata, semua pihak harus duduk semeja dan memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir di Tehel yang semakin buruk, selepas kali terakhir berlaku 20 tahun lalu.

“Ini projek JKR, saya tahu. Mungkin antara agensi-agensi pun tak boleh kacau bahagian masing-masing. Tapi perlu ada penyelesaian lah. Keluarkan kompaun, keluarkan notis, tapi hentikan dulu kerja pembinaan untuk selesaikan isu perparitan,” tambahnya.

MalaysiaGazette sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas JAS.

Bagaimanapun, kami berharap masalah banjir di Tehel dapat diselesaikan secaa bersama semua agensi dan pihak-pihak terbabit. – MalaysiaGazette