Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Gara-gara memberi butiran peribadi kepada seorang pegawai kononnya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), seorang tukang kebun kehilangan RM6,930 dalam kejadian di Karak, Bentong semalam.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pengadu pada mulanya dihubungi menerusi panggilan telefon telah dimaklumkan mempunyai rekod tunggakan cukai dan kesalahan jenayah.

“Pengadu terima panggilan dari talian tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Pusat SSM Cyberjaya yang memaklumkan pengadu mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM58,000.

“Mangsa juga dikatakan terlibat dalam penyeludupan dadah dan penggelapan wang haram oleh pemanggil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Wazir, pengadu seterusnya diminta menekan pautan dan mengisi butiran maklumat bank seperti diarahkan.

“Setelah pengadu mengisi butiran maklumat dan pengadu telah menyemak baki akaun dapati wang telah berkurangan sebanyak RM6,930,” katanya.

Hasil siasatan dan menurut rekod semakan, pindahan wang secara atas talian telah dipindahkan melalui transaksi DuitNow.

Pengadu berasa diri ditipu dan datang ke balai buat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette