The Timah whisky
Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah mengekalkan namanya walaupun dilanda kontroversi sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah mengekalkan namanya walaupun dilanda kontroversi sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengeluar Timah iaitu Winepark Corporation (M) Sdn Bhd (Winepark) perlu menyertakan label tambahan pada botol wiski itu.

Ia bagi menjelaskan nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah seperti yang diusulkan oleh syarikat itu sendiri.

“Saya sudah membuat pertemuan dengan syarikat pengeluar tersebut dan berbincang bagaimana kita boleh tangani masalah ini.

“Saya kemudian membawa usul syarikat itu ke Kabinet dan Kabinet bersetuju dengannya,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily.

Keputusan itu dibuat setelah Alexander memaklumkan Winepak bersedia menukar nama dan imej pada label produk namun memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah pada 28 Oktober lalu.

Alexander memberi jaminan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Jenama arak Timah menjadi kontroversi apabila namanya dirujuk seolah-olah nama anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah.

Gambar lelaki yang dipaparkan pada atas botol itu pula seperti seorang lelaki muslim kerana berjanggut dan memakai kopiah.

Bagaimanapun syarikat terbabit menafikannya kerana ia merujuk
kepada Kapten Tristram Speedy – seorang penjelajah British abad ke-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Arak jenama Bijih Timah dan Susu Getah mengimbas kenangan baka migran dahulunya menguntungkan ekonomi penjajah British supaya meraih 70% ekonomi mengikut Dasar Ekonomi Apartheid aka DEB/NEP 30% ekonomi untuk majority pribumi Melayu. Lebih-lebih lagi padan muka Pak Pandir modern kemaruk cukai arak tetapi kecualikan baka migran daripada cukai visas dan cukai harta lebih tinggi menduduki tanah rizab Melayu kini tinggal 12% jauh lebih rendah berbanding tanah milik kerajaan Palestinian Authority.

Comments are closed.