Isham Jalil
Isham Jalil

AYER KEROH – Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih gemar menyerang Barisan Nasional (BN) daripada berkempen untuk partinya.

Penasihat Komunikasi Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berkata, ia berbeza dengan kempen yang dilakukan oleh BN apabila tidak menyerang individu dalam apa jua platform.

Katanya, beliau melihat perkara itu daripada laporan berita di laman-laman portal.

“Ada orang kata kempen mereka itu 90 peratus mengata Barisan Nasional dan Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak) yang dibawa oleh Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin yang bercerita pasal kita.

“Dia tak cerita apa benda yang dia tawarkan kepada rakyat Melaka… macam kita, manifesto kita cerita secara genuine apa tawaran kita dari segi politik, ekonomi dan sosial, kerajaan negeri dan pembangunan yang mampan.

“Dia tiada apa nak ditawarkan, jadi kempen mereka nak mencemuh dan mencaci pasal kita macam apa yang berlaku pada PRU14,” katanya pada program Bicara Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disiarkan BN Comms di Facebook.

Menurut Isham lagi, banyak perkara yang diselindungi dalam kempen yang bukan sahaja dilakukan oleh Muhyiddin tetapi juga pimpinan PN lain dan semua itu dianggap hipokrit.

Ini kerana kata beliau, Muhyiddin bukan sahaja boleh membuat sesuatu di luar jangka seperti beliau menikam dari belakang pengerusi Pakatan Harapan dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, menerusi manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhyiddin mengatakan bahawa bukan beliau yang membuat manifesto tersebut sebaliknya menuding jari kepada Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Jadi kalau dia lancarkan manifesto samalah juga hancingnya macam ketika dalam Pakatan Haraan dulu. Tapi dia dengan Tun Mahathir pun sama, dua kali lima juga.

“Pakatan Harapan ni manifesto dia ni dah hancing mereka dah tak boleh nak menipu, rakyat pun tak boleh nak percaya,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, apa yang disampaikan PN perlu dinilai dengan berhati-hati oleh rakyat dan pengundi di Melaka agar mereka tidak tertipu untuk kali yang seterusnya. – MalaysiaGazette