Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu setakat ini semua pertuduhan bagi kes 1MDB masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menjalankan siasatan.

Keputusan sama ada untuk menuduh atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara, katanya.

“Setiap pendakwaan berdasarkan kepada hasil siasatan. Dalam pengetahuan SPRM tidak terdapat sebarang kelemahan dan kesilapan di dalam proses siasatan yang dijalankan.

“Selain itu, pembanterasan rasuah oleh SPRM sentiasa dipertingkatkan dan diperkemaskan sama ada dalam aspek operasi, pencegahan dan pendidikan.

“SPRM juga menambahbaik kaedah penyiasatan dalam kes-kes rasuah dan salah guna kuasa di negara ini. Antara lain, melaksanakan pengurusan penyiasatan berkesan dalam kes High Profile and Public Interest,” katanya menjawab perbahasan RUU Perbekalan 2022 di Parlimen petang ini.

Kata Dr. Wan Junaidi, penggunaan kaedah analisa kewangan dan perisikan sedang diperkembangkan lagi kerana jenayah rasuah semakin kompleks.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (PH) berkait penangkapan melibatkan ketirisan kewangan dan kes rasuah seperti kes Dana Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di bawah Kementerian Perpaduan Negara yang dikatakan hanya melibatkan pegawai bawahan, sedangkan pemimpinnya masih bebas berleluasa.

Beliau memaklumkan, SPRM pernah menjalankan siasatan berhubung isu itu pada 2019, bagaimanapun, siasatan tersebut tidak dapat membuktikan wujudnya kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Ujarnya, pada 2021, SPRM telah menerima maklumat dan siasatan telah digerakkan berkaitan isu berkenaan dan tangkapan yang telah dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dengan siasatan dijalankan secara telus tanpa mengira pangkat.

Mengenai isu kelewatan kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Dr. Wan Junaidi menjelaskan, kebiasaannya kes rayuan jenayah ditetapkan untuk pendengaran akan diputuskan pada hari sama ianya didengar.

“Bagaimanapun, bagi kes rayuan melibatkan isu yang rumit dan memerlukan penelitian mendalam, tarikh keputusan untuk rayuan tersebut akan ditetapkan dalam tempoh masa yang munasabah.

“Berdasarkan rekod di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan, pada masa ini hanya kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak sahaja yang telah ditangguhkan untuk keputusan dalam tempoh melebihi lima bulan.

“Selain itu, terdapat lima lagi kes rayuan yang melibatkan Ahli Parlimen Pekan di Mahkamah Rayuan yang masih aktif,” katanya.

Bagi Mahkamah Persekutuan pula, katanya, tiada sebarang kes rayuan jenayah yang ditangguhkan untuk keputusan melebihi tempoh lima bulan.

“Berhubung kes melibatkan Najib di Mahkamah Persekutuan, pada masa ini terdapat satu rayuan jenayah melibatkan beliau yang masih aktif.

“Rayuan telah didaftarkan pada 13 September lalu dan kini sedang menunggu penyediaan alasan penghakiman dan rekod rayuan,” katanya. – MalaysiaGazette